Saturday, June 19, 2010

Aktiviti 4: Gabung Jalin Secara Tersirat dan Tersurat

1) Berikan contoh bagaimana kaedah ini boleh dilaksanakan dalam kursus komputer.

Sama seperti sebelum ini, dalam mengendalikan kursus-kursus komputer, kita seharusnya menyelitkan elemen-elemen kemahiran berfikir, kemahiran untuk meneroka sendiri perisian kursus, kemahiran berinteraksi antara peserta kursus dan sebagainya. Kita mungkin tidak menyatakan dalam objektif utama kita bagaimana kita akan memasukkan juga elemen kemahiran ini, tetapi sebagai fasilitator kursus, kita perlu pandai menyelitkan elemen-elemen ini sepanjang kursus dijalankan. Sebagai contoh, semasa kursus berjalan, kita mungkin boleh bertanyakan soalan kepada para peserta bagi menguji kemahiran berfikir mereka dan untuk melihat sejauh mana peserta tersebut faham dengan apa yang kita tunjukkan atau ajarkan. Kita biasanya akan membekalkan peserta kursus dengan pelbagai bahan kursus berupa modul, cd, nota dan sebagainya. Seringkali pengajar mendemonstrasikan langkah demi langkah bagaimana sesuatu kemahiran itu digunakan. Namun, mengikut konsep gabung jalin tersirat, seeloknya fasilitator hanya bertindak sebagai pemudahcara bagi membimbing peserta menggunakan perisian tersebut supaya peserta lebih banyak berfikir kenapa langkah-langkah tersebut perlu dilakukan dan kenapa tidak begitu atau begini. Selain itu, tenaga pengajar juga perlu memupuk semangat kerja berpasukan di kalangan peserta kajian dengan cara menasihatkan pelajar yang telah menguasai kemahiran tersebut untuk membantu pelajar yang masih lemah. Secara tidak langsung kemahiran atau cara kerja secara berpasukan dapat dipupuk dan dibudayakan di kalangan peserta kursus.

Selain itu, pelajar juga perlu diajar bagaimana untuk memahami proses pembelajaran mereka sendiri semasa menjalani kursus komputer. Pegetahuan peserta terhadap proses pembelajaran mereka sendiri dapat membantu mereka memantau dan mengawal proses berfikir dan proses pembelajaran mereka ketika menjalankan aktiviti dan menyelesaikan sebarang masalah di sepanjang kursus tersebut. Seterusnya mereka dapat mengaplikasikan kemahiran tersebut dalam kehidupan seharian mereka.

No comments:

Post a Comment