Friday, June 18, 2010

Aktiviti 2: Kognisi (Kognitif)


1)                  Dapatkan tiga definisi kognisi/kognitif.
Istilah kognitif merujuk kepada aktiviti-aktiviti mental seperti berfikir, menaakul, menganalisis, membentuk konsep, menyelesaikan masalah dan sebagainya. Pendekatan Kognitif merupakan pendekatan yang memberi perhatian khusus kepada proses pemikiran individu seperti kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif, kemahiran belajar dan motivasi yang dipelopori oleh ahli psikologi Gestalt, Pieget, Vygotsky, Gagne, Bruner dan Ausubel.
Rujukan: http://www.scribd.com/doc/17064250/Pendekatan-Kognitif


Menurut Resnick (1987) dan John (1997), kognitif adalah semua proses mental yang terlibat dalam perolehan, penghasilan pengetahuan, penggunaan pengetahuan dan pengawalan proses mental. Maklumat yang diterima dipadankan, dibandingkan dan diklasifikasikan dengan maklumat yang sedia tersimpan dalam ingatan jangka pendek dan jangka panjang. Maklumat baru yang lebih bermakna dan relevan berkemungkinan diintegrasikan dengan maklumat yang sedia ada pada tahap yang tinggi. (Azhar, 1999).

Rujukan: Mohd. Azhar Abdul Hamid. 2003. Meningkatkan Daya Fikir. Batu Caves: PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.


Menurut Nazar (1990) pula, perkataan kognitif atau kognisi membawa maksud 'berfikir'. Perspektif ini menegaskan kepentingan kebolehan manusia berfikir serta memproses dan menilai data serta maklumat sebelum bertindak terhadapnya. Analoginya adalah seperti keberkesanan sistem pengolahan maklumat (information processing system) yang dikawal oleh fikiran dan pengetahuan yang sentiasa berada dalam keadaan sedar.

Rujukan: Mohd. Azhar Abdul Hamid. 2003. Meningkatkan Daya Fikir. Batu Caves: PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.


2)         Sintesis definisi-definisi berkenaan.

a)        Kognitif boleh dikatakan sebagai proses intelektual seperti persepsi, fikiran, ingatan dan bahasa. Maklumat-maklumat dari persekitaran diperoleh, ditukar bentuk, disimpan, dipanggil kembali dan digunakan semasa proses berfikir.

b)        Kognitif adalah proses dalaman iaitu berbeza dengan tingkah laku yang boleh dilihat.

c)        Kognitif melibatkan pemikiran, pengetahuan, interpretasi, pemahaman dan idea individu manakala proses kognitif pula melibatkan persepsi, ingatan serta maklumat yang diproses dan seterusnya digunakan oelh individu bagi mendapatkan maklumat, merancang dan menyelesaikan masalah.


3)                  Kemukakan dengan contoh bagaimana soalan berbentuk kognisi boleh ditanya dalam sesi pembelajaran komputer.

Guru membimbing pelajar menggunakan persepsinya untuk menghubungkaitkan unsur-unsur dalam persekitaran secara turutan untuk menyelesaikan tugasan yang diberi. Contoh jika guru ingin mengajar subjek fungsi perkakasan komputer, guru tersebut boleh menganalogikan perkakasan tersebut dengan persekitaran pelajar seperti speaker, alat untuk mendengar berfungsi seperti telinga, CPU yang memproses maklumat berfungsi seperti otak dan sebagainya. Secara tidak langsung, para pelajar dapat mengaitkan pengalaman sedia ada dengan pembelajaran baru mereka.Selain itu, guru-guru boleh membawa sendiri pelajar ke dalam makmal komputer dan menunjukkan perkakasan-perkakasan terbabit. Selepas menerangkan setiap perkakasan dan fungsi-funsinya, guru-guru boleh menguji pelajar dengan cara bertanya soalan yang berkaitan dengan fungsi perkakasan tersebut. Di sini, guru-guru dapat menilai pemahaman pelajar dan pengetahuan serta daya ingatan mereka terhadap apa yang disampaikan sebelum ini. Pelajar yang faham pasti akan dapat menerangkan kembali fungsi-fungsi perkakasan tersebut dengan menggunakan ayat mereka sendiri mengikut apa yang mereka faham.

Contoh soalan: Apakah fungsi papan kekunci?


4)         Bentang dan lapor dalam blog anda.

No comments:

Post a Comment