Wednesday, April 28, 2010

Tugasan 1: Ulasan Jurnal 3


Tajuk:

CHANGING STUDENT TEACHERS’ PERCEPTION ABOUT PROBLEM SOLVING THROUGH THE INTEGRATION OF ICT IN A MATHEMATICS TEACHING METHODS COURSE

Penyelidik:

Munirah Ghazali, Zurida Ismail, S. Abdul Rahman
School of Educational Studies, Universiti Sains Malaysia

Sumber:

MEDC Volume 1, December 2007

Ulasan

Menurut penyelidik, penyelesaian masalah adalah salah satu ciri penting dalam aktiviti matematik dan juga satu pendekatan untuk mengembangkan pengetahuan matematik. Tujuan utama pengajaran dan pembelajaran matematik adalah untuk mengembangkan keupayaan untuk menyelesaikan masalah matematik yang kompleks. Namun, proses penyelesaian masalah dalam matematik tidak diberi perhatian yang sepatutnya. Hal ini mungkin disebabkan guru sendiri kurang selesa dengan aspek penyelesaian masalah. Oleh itu, guru tidak mengajar teknik dan proses penyelesaian masalah.

Dalam kertas kajian ini, para penyelidik cuba melihat kepercayaan guru pelatih tentang penyelesaian masalah dan bagaimana kepercayaan berubah dengan penggunaan teknologi maklumat. Dalam kajian ini, satu langkah pengintegrasian teknologi komunikasi maklumat dalam kursus kaedah pengajaran matematik telah diambil bertujuan untuk mengubah kepercayaan dan persepsi pelajar tentang penyelesaian masalah agar mereka boleh menjadi penyelesai masalah yang lebih berupaya. Selain itu, langkah ini dapat meningkatkan keupayaan mereka mengembangkan strategi penyelesaian masalah yang lebih luas.

Kajian ini melibatkan seramai 131 orang guru pelatih tahun 2 yang mengambil kursus Kaedah Pengajaran Matematik di Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Sains Malaysia. Dalam kajian ini, pertama sekali mereka perlu mencari 3 rancangan mengajar atau artikel tentang penggunaan teknologi, iaitu Excel untuk mengajar topik matematik yang tertentu, mengikut pilihan mereka sendiri. Kemudian mereka dikehendaki menganalisis artikel-artikel tersebut dan menulis laporan berkaitan proses mengajar dan belajar, memberi perhatian terhadap kekuatan dan kelemahannya & bagaimana mereka akan menggunakan maklumat tersebut untuk mengajar topik tersebut di dalam kelas. Mereka juga dikehendaki mencari 2 artikel di dalam Jurnal Matematik tentang topik tersebut dan memasukkan hasil dapatan mereka ke dalam laporan yang dihasilkan.
Keduanya, mereka perlu menyediakan kaedah yang kreatif & berkesan bagi mengajar topik yang mereka pilih sebelum ini, berdasarkan hasil dapatan yang diperoleh & analisis yang dilakukan. Pembelajaran ini perlu mengintegrasikan penggunaan Excel dalam pengajaran topik tersebut dan perlu disediakan untuk satu masa mengajar & aktiviti pembelajaran iaitu selama 40 minit. Ketiga, mereka perlu menjalankan sesi pengajaran mikro dalam masa 15 hingga 20 minit berdasarkan rancangan mengajar.

Hasil dapatan penyelidik mendapati, persepsi guru pelatih terhadap penyelesaian masalah dalam matematik berubah dengan penggunaan ICT. Walaupun pada mulanya mereka agak tidak selesa, tetapi semakin lama mereka semakin seronok dan yang paling penting, mereka mendapat pengalaman perspektif yang baru terhadap penyelesaian masalah matematik. Peranan ICT dilihat sebagai menyokong & meningkatkan kebolehan guru-guru pelatih untuk menyelesaikan masalah-masalah matematik. Yang paling penting, ia mengubah cara guru-guru tersebut melihat masalah dan merancang kaedah bagi mengajar penyelesaian masalah matematik menggunakan teknologi dalam mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih canggih.

Dari perspektif p&p pendidikan komputer sendiri, seharusnya, para pelajar diterapkan dan didedahkan dengan penggunaan komputer seawal sekolah rendah agar mereka tidak menjadi golongan apa yang dikatakan "Technophobic" apabila memasuki kolej-kolej mahupun pengajian tinggi nanti. Para pelajar ini seharusnya diterapkan kemahiran menyelesaikan masalah seawal sekolah rendah agar apabila mereka berhadapan dengan masalah yang lebih sukar terutama dalam kursus berkaitan komputer, mereka tidak akan panik tetapi tahu apa yang patut dilakukan dan boleh berfikir secara rasional bagi mencari penyelesaian masalah, bukan sahaja menemui penyelesaian terbaik, malah mereka boleh mencadangkan penyelesaian yang lebih baik dari apa yang sedia ada. Dengan itu, secara tidak langsung kita dapat memupuk kemahiran berfikir secara kreatif.  

No comments:

Post a Comment