TUGASAN 1: ULASAN BUKU
Tajuk Buku:
SIRI BERFIKIR UTUSAN: KURSUS BERFIKIR UNTUK KOLEJ DAN UNIVERSITI
Penulis:
Ainon Mohd. & Abdullah Hassan
Penerbit:
Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd
Tahun diterbitkan: 1999
Muka surat: 514 halaman
Ulasan:
Buku ini dibahagikan kepada 12 topik iaitu Berfikir, Pelbagai Pemikiran, Logik Barat, Falasi, Pemikiran Lateral dan Paralel, Pemikiran Kreatif dan Inovatif, Pemikiran Sains dan Teknologi, Menyelesaikan Masalah, Membuat Keputusan, Kesan Faktor Kognitif Ke Atas Pemikiran, Mempengaruhi Pemikiran, dan Pengaruh Psikologi Ke Atas Pemikiran.
Dalam setiap topik, penulis memberi definisi kepada tajuk atau istilah-istilah yang digunakan dalam setiap bab serta memberi pelbagai contoh yang berkaitan dengan kehidupan kita sehari-hari. Dalam bab pertama iaitu Berfikir contohnya, penulis menyenaraikan pelbagai definisi 'Berfikir' menurut tokoh-tokoh, pakar-pakar psikologi dan ahli falsafah. Antaranya Bartlett (1958), Bruner, Goodnow & Austin (1967), Dewey (1921) dan Edward de Bono (1976). Berdasarkan apa yang dibincangkan oleh penulis, ramai orang percaya bahawa jikalau kita pandai belajar mata pelajaran - mata pelajaran dalam bilik darjah dan lulus akademik dengan cemerlang, maka tentu sekali kita sudah pandai berfikir. Persepsi seperti inilah yang mendorong ramai majikan memilih calon yang mempunyai kelulusan yang lebih tinggi apabila mengambil pekerja. Kemudian barulah mereka menyedari pekerja seperti itu mungkin cuma pandai semasa di sekolah tetapi bodoh di tempat kerja. Bahagian ini membincangkan latar belakang kepada beberapa kekeliruan yang penting difahami berkenaan apa yang disebut kemahiran berfikir, seperti kekeliruan mengenai perkaitan antara kepintaran dengan kemahiran berfikir, dengan kejayaan akademik, kejayaan di dalam kehidupan sebenar dan dengan kreativiti. Ia juga menerangkan teori bagaimana minda manusia beroperasi dan mengapa faktor itu amat mempengaruhi kreativiti manusia. Seterusnya bahagian ini membincangkan bagaimana sistem pendidikan sekarang menitikberatkan latihan berfikir secara tradisional kepada para pelajar, oleh sebab itu ia gagal mendorong perkembangan daya kreatif mereka.
Dalam bab kedua, iaitu bab Pelbagai Pemikiran, penulis menerangkan pelbagai konsep dan istilah yang biasa digunakan oleh pakar-pakar bidang ini, di mana istilah-istilah dan konsep-konsep itu pada asasnya menerangkan pelbagai gaya ataupun stail berfikir. Kita sendiri sebenarnya boleh melihat, sejak 20 tahun kebelakangan ini, bidang kemahiran berfikir menarik minat ramai pengkaji. Selaras dengan minat dan keghairahan itu, mereka mencipta pelbagai konsep dan istilah bagi menghuraikan idea-idea mereka berkenaan topik ini.
Dalam bab ketiga, iaitu bab Logik Barat, penulis menjelaskan apa yang disebut logik tradisional ataupun logik Barat yang berasal daripada tradisi berfikir ciptaan tiga orang ahli falsafah Yunani yang terkenal iaitu Socrates, Aristotle dan Plato. Ia juga menerangkan keterbatasan kegunaan logik tradisional di dalam kehidupan sebenar. Jika kita lihat kepada sistem pendidikan negara kita, ia mengajar para pelajar supaya mahir berfikir secara logikal. Namun, biasanya kita menyangka apa yang dikatakan logik itu hanya terdiri daripada satu jenis logik sahaja. Kebanyakan orang yakin bahawa logik itu bersifat alamiah, bahawa logik itu sedia ada kerana ia dicipta oleh Tuhan bersama-sama penciptaan alam ini. Malah mereka percaya adalah mustahil bahawa wujud lebih daripada satu logik. Logik sebagaimana yang kita ketahui hari ini adalah ciptaan beberapa orang manusia berbangsa Yunani beberapa ribu tahun dahulu.
Bab seterusnya ialah Falasi. Falasi ialah istilah yang bermakna sesuatu yang kta yakini sebagai benar tetapi rupa-rupanya ia tidak benar. Kebanyakan individu yang pintar semasa di sekolah percaya bahawa kita melakukan kesilapan berfikir disebabkan kita tidak mempunyai maklumat yang banyak berkenaan apa yang difikirkan, oleh itu mereka percaya bahawa dengan mengumpulkan sebanyak-banyak pengetahuan berkenaan sesuatu perkara itu maka kita dapat mengelakkan diri daripada tersilap. Mereka juga yakin bahawa kelemahan berfikir secara logikal juga akan menyebabkan kita silap.. Namun, maklumat yang banyak dan pengetahuan tentang logik tidak menghilangkan kemungkinan seseorang individu daripada mempunyai pelbagai falasi di dalam pemikirannya. Bahagian ini menerangkan pelbagai falasi yang amat kerap berlaku dalam pemikiran biasa. Kedua-dua jenis falasi yang bersifat logikal dan falasi yang berpunca daripada proses-proses psikologikal diterangkan dengan terperinci di dalam bab ini.
Dalam bab kelima, iaitu Pemikiran Lateral Dan Paralel, diterangkan dua konsep pemikiran yang dicipta oleh Dr. Edward de Bono, iaitu pemikiran lateral dan pemikiran paralel. Cara berfikir lateral dan paralel bukanlah cara yang baru, malah ia bukanlah suatu cara berfikir melainkan satu gaya berfikir. Kedua-dua gaya ini memang sudah digunakan oleh mereka yang kreatif dan fleksibel. Walaupun begitu, kedua-dua gaya ini tidak dikembangkan di dalam bilik darjah. Malah, mengikut ramai pakar pemikiran kreatif, apa yang berlaku di dalam bilik darjah menyebabkan bakat kreatif semulajadi kanak-kanak semakin lama semakin tumpul.
Bab keenam ialah Pemikiran Kreatif dan Inovatif. Dalam bab ini penulis menyenaraikan dan menerangkan pelbagai teknik berfikir yang dicipta di Barat, khususnya di Amerika dan teknik-teknik yang dicipta di Jepun. Kebanyakan daripada teknik-teknik itu adalah untuk kegunaan dalam bidang rekacipta industri. Sebahagian daripada teknik-teknik itu adalah untuk digunakan secara individu, tetapi kebanyakannya adalah untuk digunakan dalam kumpulan. Di dalam buku ini, penulis memasukkan teknik-teknik berfikir yang dicipta oleh pakar-pakar daripada Jepun, yang pada pendapat saya patut diamalkan dalam masyarakat kita sendiri memandangkan teknik-teknik Jepun itu adalah berdasarkan nilai-nilai budaya kolektif, yang serupa dengan budaya kita sendiri.
Bab ketujuh ialah Pemikiran Sains dan Teknologi. Dalam bab ini diterangkan pelbagai istilah dan konsep-konsep asas yang digunakan apabila kita berbincang berkenaan kaedah dan proses-proses berfikir dalam aktiviti penyelidikan dan penemuan sains. Ia juga menerangkan sumbangan logik dan keterbatasan kegunaan logik dalam sains. Dalam bab ini juga penulis menerangkan sumbangan faktor ketidaksengajaan, kesilapan, intuisi dan kreativiti dalam proses penemuan saintifik.
Bab lapan ialah Menyelesaikan Masalah. Aktiviti menyelesaikan masalah merupakan salah satu bidang aplikasi kemahiran berfikir yang sangat penting. Sistem pendidikan kita baik di peringkat sekolah mahupun pada peringkat pengajian tinggi tidak memberikan kepada pelajar kemahiran menyelesaikan masalah-masalah praktikal sebagaimana yang sebenarnya banyak berlaku di dalam kehidupan sebenar. Akibatnya, pelajar-pelajar yang lulus dengan keputusan akademik cemerlang lazimnya tidak mempunyai kemahiran menggunakan pengetahuan akademik yang mereka miliki untuk menyelesaikan pelbagai masalah praktikal di tempat kerja mereka secara kreatif dan efektif. Inilah faktor utama mengapa kerap kali kita bertemu dengan kes-kes pelajar yang cemerlang sewaktu di universiti tetapi mereka gagal menjadi pekerja cemerlang di dalam kerjaya mereka. Dalam bab ini, penulis menerangkan dua pendekatan menyelesaikan masalah iaitu yang pertama, ialah dengan menggunakan pemikiran analitikal-logikal, manakala yang kedua ialah menggunakan pemikiran kreatif. Ia juga menerangkan faktor-faktor yang menghalang kita daripada menyelesaikan masalah secara kreatif meskipun kita mungkin mempunyai banyak maklumat dan pengetahuan berkenaan masalah yang cuba diselesaikan.
Bab kesembilan ialah Membuat Keputusan. Aktiviti membuat pilihan dan keputusan adalah satu lagi bidang aplikasi kemahiran berfikir yang amat penting. Bahagian ini menerangkan faktor-faktor yang kerap menyebabkan seseorang itu membuat pilihan dan keputusan yang salah. Ia juga menerangkan peranan tekanan kumpulan ke atas keputusan-keputusan yang dibuat secara bersama. Ramai orang yang pintar semasa di sekolah masih mungkin membuat keputusan yang bodoh dalam kehidupan mereka yang sebenar. Malah ramai orang yang pintar tidak berani membuat keputusan. Dalam senario tempat kerja, ramai pekerja yang pintar semasa di sekolah membuat pelbagai macam helah supaya mereka boleh mengelak daripada terpaksa membuat sebarang keputusan, kerana mereka tidak berani mengambil risiko membuat keputusan yang salah. Inilah salah satu faktor mengapa di tempat-tempat kerja di mana terdapat ramai individu-individu yang pintar semasa mereka di sekolah, maka di situ jugalah terdapat proses birokrasi yang panjang dan banyak dijalankan mesyuarat yang sebenarnya tidak diperlukan, di mana kedua-duanya dijadikan perisai oleh individu-individu itu supaya mereka terselamat daripada sebarang risiko keputusan.
Bab kesepuluh ialah Kesan Faktor Kognitif Ke Atas Pemikiran. Dalam bab ini penulis ada menyebut bahawa manusia melakukan dua jenis kesilapan berfikir, iaitu kesilapan logikal dan kesilapan psikologikal. Proses-proses psikologi menentukan persepsi-persepsi kita. Meskipun kita mungkin menggunakan logik yang betul tetapi persepsi kita ke atas sesuatu masalah itu mungkin sangat salah. Akibatnya, pilihan, keputusan dan penyelesaian yang kita gunakan untuk menyelesaikan masalah itu menjadi sangat salah. Bab ini menerangkan pelbagai proses kognitif yang mempengaruhi pemikiran manusia dan bagaimana proses-proses itu seterusnya mempengaruhi kesimpulan-kesimpulan yang mereka ambil dan keputusan-keputusan serta tingkah laku mereka. Di kalangan individu-individu yang pintar, kebanyakan daripada mereka percaya bahawa kesilapan logik adalah kesilapan yang serius dan seboleh-bolehnya kesilapan logik mesti dielakkan. Namun, hasil kajian yang dijalankan menunjukkan bahawa kesilapan logik bukanlah kesilapan berfikir yang kerap dilakukan oleh manusia, mahupun yang amat membahayakan manusia. Seringkali individu-individu yang pintar dapat mengelakkan pelbagai kesilapan logikal, namun seperti manusia biasa yang lain, mereka mungkin melakukan kesilapan yang lebih serius disebabkan pengaruh proses-proses kognitif yang mereka alami.
Bab sebelas ialah Mempengaruhi Pemikiran. Pemikiran-pemikiran kita dan apa yang kita lakukan mempunyai kesan ke atas orang-orang lain. Begitu pula apa yang dilakukan oleh individu-individu lain mempunyai kesannya ke atas diri kita. Oleh hal yang demikian, pemikiran kita sentiasa menjadi sasaran pengaruh pelbagai pihak di sekeliling kita. Kita sendiri sentiasa cuba mempengaruhi pemikiran-pemikiran individu-individu lain. Ramai individu yang pintar semasa di sekolah bukan sahaja mereka tidak kreatif, malah mereka mungkin tidak mempunyai kemhiran mempengaruhi orang-orang di sekeliling merekasupaya mahu menerima pemikiran dan pendapat mereka. Akibatnya, mereka banyak menggunakan arahan, ancaman, ugutan dan paksaan ke atas individu-individu yang berada di bawah kuasa mereka. Bab ini menerangkan strategi dan teknik-teknik persuasif yang banyak digunakan oleh pihak-pihak lain dengan tujuan mempengaruhi pemikiran dan keputusan-keputusan yang kita buat , umpamanya seperti apa yang dilakukan oleh para pengiklan dan jurujual untuk mempengaruhi pemikiran, keputusan dan tingkah laku kelompok sasaran mereka.
Bab terakhir iaitu bab ke-12, membincangkan Pengaruh Psikologi Ke Atas Pemikiran. Kita bukan hanya memikirkan perkara-perkara yang berada di luar diri kita tetapi kita juga berfikir tentang diri kita sendiri. Apa yang kita fikirkan tentang diri kita sendiri mempunyai pengaruh yang besar ke atas kejayaan kita di dalam kehidupan sebenar. Pemikiran dan tingkah laku kita amat dipengaruhi oleh psikologi kita. Oleh itu adalah mustahak supaya kita tidak menjadi mangsa kepada pemikiran kita sendiri. Dua faktor psikologi yang mempunyai pengaruh besar ke atas pemikiran seseorang ialah konsep diri dan esim diri. Dalam bab ini diterangkan kesan-kesan kedua-dua faktor itu ke atas pemikiran dan tingkah laku seseorang serta strategi untuk menangani kesan-kesan negatifnya.
Apabila bercakap atau membincangkan tentang berfikir, ada dua perkara yang mesti kita bezakan. Pertama ialah adanya apa yang dikatakan 'ilmu pengetahuan tentang berfikir'. Kedua ialah ada apa yang dikatakan 'kemahiran berfikir'. Berdasarkan pembezaan itu, maka kita mungkin bertemu seseorang individu yang tahu banyak tentangsubjek berfikir tetapi beliau sendiri tidak mampu menerbitkan idea-idea kreatif. Keadaan ini serupa dengan situasi individu yang tahu banyak tentang teori-teori berkenaan mekanisma operasi sebuah enjin kereta tetapi beliau tidak mahir memandu kereta.
Dalam memperkenalkan kursus kemahiran berfikir di peringkat pengajian tinggi, salah satu kelemahan yang biasa kita lihat ialah kursus ini diajarkan dengan pendekatan tradisional yang sama seperti pengajaran kursus-kursus lain. Di sini, pensyarah lebih berminat mengajarkan ilmu pengetahuan tentang berfikir itu sendiri. Dalam erti kata lain, pensyarah mahu para pelajar tahu pelbagai maklumat tentang apa yang dikatakan berfikir. Soalan-soalan peperiksaan juga banyak berkisar kepada soalan-soalan mengingati kembali kandungan syarahan yang disampaikan di dalam dewan kuliah. Sebagai contoh, soalan itu mungkin seperti, "Apakah faktor-faktor yang menyekat daya kreativiti seseorang?" ataupun "Terangkan perbezaan antara pemikiran vertikal dan pemikiran lateral." ataupun "Huraikan pandangan Islam berkenaan berfikir, dan beri contoh bagaimana Islam mengamalkan pemikiran kreatif."
Matlamat utama diperkenalkan kursus kemahiran berfikir ialah supaya para pelajar bukan setakat mempunyai pengetahuan akademik yang banyak tetapi mereka juga mempunyai kemhiran menggunakan pengetahuan yang ada pada mereka itu secara kreatif bagi mencipta pelbagai idea, menyelesaikan pelbagai masalah secara berkesan, membuat keputusan yang terbaik, mengelakkan pelbagai kesilapan berfikir dan lain-lain, yang semuanya memerlukan kemahiran berfikir secara praktikal. Untuk mencapai matlamat itu, kursus ini hendaklah diajarkan dengan menggunakan pendekatan penyelesaian masalah. Dalam erti kata lain, baik untuk tujuan latihan amali mahupun peperiksaan, para pelajar diberikan masalah-masalah praktikal yang sebenar di mana mereka dikehendaki menggunakan pengetahuan yang mereka sudah pelajari untuk menyelesaikan masalah tersebut.
Bagi tujuan itu, strategi yang berkesan bagi memperkenalkan kursus kemahiran berfikir ialah dengan melatih beberapa orang pensyarah daripada tiap-tiap jabatan supaya mereka dapat mengajarkan kandungan kursus ini kepada para pelajar jabatan itu menggunakan pendekatan menggabungkan dengan kursus-kursus jabatan tersebut. Dengan itu, para pelajar berpeluang mengaplikasikan pengetahuan mereka ke atas masalah-masalah praktikal yang perlu mereka selesaikan secara kreatif dan berkesan.